Sejarah

Sejarah Penubuhan SK St Patrick Krokong

Sekolah Kebangsaan (SK) St Patrick merupakan salah sebuah sekolah rendah yang terdapat di Krokong selain SK Pedaun Bawah, SK Tringgus dan SK Gumbang.  Menyingkap kembali sejarah penubuhannya, sekolah ini dikatakan memulakan operasinya pada Januari 1952 dengan menjadikan sebuah pondok yang merupakan bekas tempat tinggal pekerja-pekerja lombong emas sebagai bangunan sekolah.  Pondok berkenaan digunakan hampir setengah tahun oleh penduduk kampung sebagai bilik darjah sementara selepas penutupan lombong emas di kawasan sekitarnya.

Berikutan jumlah pelajar yang semakin bertambah, sebuah bangunan baru kemudiannya dibina kira-kira 200 meter dari tapak asalnya secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.  Malangnya, selepas beberapa bulan didirikan bangunan tersebut roboh akibat ribut kencang.  Walau bagaimanapun, berkat kesabaran dan kegigihan penduduk kampung, mereka berjaya mendirikan semula bangunan sekolah tersebut di atas tapak yang sama.

Pada ketika itu bangunan sekolah tersebut dibina dengan berdindingkan buluh, berbumbung nipah dan berlantaikan tanah serta strukturnya hanya dikukuhkan dengan beberapa tiang kayu belian yang didermakan oleh tuan punya lombong emas.  Pada pertengahan tahun 1957, bangunan sementara itu di baiki dengan menggantikan dinding papan, beratapkan zink dan lantai simen.  Kemudian pada  tahun 1962, sebuah blok yang mengandungi enam buah bilik darjah dan sebuah bilik guru dibina kira-kira 50 meter dari bangunan lama.  Bangunan tersebut bagaimanapun diambil alih oleh tentera British sejurus sahaja siap menyebabkan sebuah lagi bangunan sementara terpaksa didirikan bersebelahan untuk digunakan sebagai sekolah.  


Pada tahun 1962, sebuah blok yang mengandungi 6 buah kelas dan sebuah bilik guru dibina kira-kira 50 meter dari bangunan lama. Malangnya, sejurus siapnya bangunan yang baru itu, tentera British menduduki bangunan tersebut. Akibatnya murid-murid tidak dapat berpindah ke bangunan tersebut. Oleh itu sebuah bangunan sementara didirikan bersebelahan dengan bangunan yang lama itu. 
Sekitarnya pertengahan tahun 1989, dengan bantuan kewangan daripada YB. Dr. Patau Rubis selaku Menteri Muda Pembangunan dan Infrastruktur pada masa itu beserta usaha gigih Guru Besar, Encik Michael Liao dan Lembaga Pengurusan Sekolah, sebuah bangunan konkrit yang mengandungi dua buah kelas dibina di belakang blok pentadbiran. Pada tahun berikutnya, blok baru itu ditambah dengan Bilik Pusat Sumber.
Sementara itu, sebuah gelanggang serbaguna juga dibina berhadapan dengan bangunan baru tersebut. Pada tahun 1992, seunit rumah berkembar (rumah guru) yang lama digantikan dengan bangunan konkrit yang lengkap dengan segala kemudahan asas. 
Sehingga kini,SK St. Patrick, Krokong mempunyai 6 buah kelas, sebuah bangunan Pra sekolah, dewan serbaguna yang diubahsuai, bangunan RMT, bangunan pentadbiran, pondok jaga, sebuah Pusat Sumber. Manakala tenaga guru-gurunya terdiri dari 16 orang guru dan 4 staf sokongan iaitu seorang Pembantu Tadbir, seorang Pembantu Pengasuh Murid, seorang Pembantu Rendah Am dan seorang Pembantu Am Rendah. Disamping itu juga aspek kebersihan dan kecerian juga dititikberatkan. Pihak sekolah juga mempunyai 3 orang pekerja swasta yang gigih bekerja menjaga kecerian sekolah.


Biarpun pelbagai cabaran dilalui, SK St Patrick tetap bertahan sehingga ke hari ini.  Kini, selain mempunyai tenaga pengajar dan kakitangan sokongan yang mencukupi dan sekolah ini juga mempunyai enam buah kelas, bilik pentadbiran, bilik serba guna, pusat sumber, gelanggang, rumah guru serta pelbagai kemudahan asas yang lengkap. Pada tahun 2011, enrolmen sekolah ialah 238 orang pelajar. Diharapkan agar banyak lagi kemudahan asas dan bangunan baru khususnya bilik kelas dapat ditambah bagi menampung kesesakkan pelajar sekarang.